Blogger Backgrounds

Saturday 7 January 2012

Ombak Rindu tragedi murahan

Filem Ombak Rindu arahan Osman Ali bermula tragedi Ustazah Izzah dihantar bapa saudaranya Taha kepada Kelvin, pemilik kelab malam sebagai pelayan kelab dan pelacur sebelum dibeli oleh Hariz sebagai perempuan simpanannya. Babak awal memaparkan alam yang indah dan disusuli Ustazah Izzah membaca doa selesai membaca al Quran.
Di kelab malam, Ustazah Izzah dicengkam rahangnya oleh Kelvin dan orang-orangnya lalu dituangkan arak ke dalam mulut Ustazah Izzah. Baju kurung Ustazah Izzah dikoyak oleh Kelvin lalu pengsan. Apabila sedar, Izzah melihat Hariz menanggalkan bajunya dan meratah tubuhnya dengan mata nafsu haiwannya.
Ustazah Izzah bersikap “pasrah” untuk dirogol Hariz. Ustazah Izzah memaut kaki Hariz merayu-rayu meminta agar dirinya dibeli oleh Hariz. Ustazah Izzah diperlakukan sebagai wanita murahan, sehingga meminta Hariz menjadikannya sebagai isteri, namun sanggup dinafikan hak-hak sebagai isteri demi menikmati hubungan seks halal. Mereka menikah di Selatan Siam.
Tragedi identiti dan nilai merujuk pada sifat zahir dan batin diri sebagai watak penjahat yang dipenuhi nilai keji seperti khianat, penipuan, pura-pura, munafik dan penonjolan sifat haiwan. Pernikahan Hariz dan Izzah dirahsiakan daripada ibunya oleh Pak Dollah dan isterinya. Mila sebagai selebriti yang baharu pulang dari luar negeri bercakap rojak dan Datin Suffiah yang berambut warna mengerbang, mendedahkan pangkal dada merupakan watak yang dicengkam tragedi identiti dan nilai yang kronis.
Wafiah, sahabat Hariz tiba-tiba muncul memeluk Hariz kecewa akibat cinta, merupakan watak tragedi nilai dan identiti. Taha juga mewakili watak yang mengalami tragedi identiti dan nilai. Pak Dollah dan isterinya sebagai watak manusia beragama yang pasif sekadar pembantu rumah. Sehingga Pak Dollah muncul tiba-tiba menyatakan Hariz adalah anak kandungnya kepada Datin Suffiah sebagai suatu bentuk tragedi identiti dan nilai.
Kerangka
Berdasarkan hujah tersebut, nyatalah Ombak Rindu dibikin dalam kerangka pengalaman Barat dengan penerapan unsur tragedi secara meluas. Penonton sama ada sedar atau tidak disihir dengan tragedi untuk berasa simpati kepada Ustazah Izzah. Walaupun ada babak Ustazah Izzah membaca al-Quran dalam bilik diintai oleh Hariz semasa Ustazah Izzah masih perempuan simpanan Hariz, namun itu bukanlah bukti kuat menunjukkan Hariz bertaubat. Hariz hanya simpati pada Ustazah Izzah atas tabiat kemanusiaan dan nafsu badaniah sahaja.
Tiada langsung babak memperlihatkan Hariz menunaikan ibadat hatta solat. Agama hanya tempelan sahaja. Kemuncak cerita ini ialah pendedahan tragedi Pak Dollah-Datuk Suffiah, tragedi penceraian Mila-Hariz. Walaupun Hariz dan Ustazah Izzah menaiki kapal layar namun tiada babak menunjukkan Hariz berubah menjadi baik kerana agama, melainkan perubahan kerana simpati dan nafsu badaniah sahaja terhadap Ustazah Izzah.
Hal ini berbeza dengan pengalaman Islam dimana Adam a.s yang sedar lalu memohon ampun dosanya biarpun terlontar ke dunia. Allah menjanjikan kepada Adam a.s dan zuriatnya hidayat dan keselamatan bagi mereka yang ikhlas melaksanakan agama Allah. Merajalelanya watak Datuk Suffiah, ingkar dan kerasnya Mila dan ketiadaan babak Hariz pulang kepada Allah membuktikan filem ini adalah filem tragedi murahan semata-mata.
Manakala citra agama menerusi Ustazah Izzah dalam keadaan terhina, ketidakupayaan dan pasrah dalam lembah kehinaan. Agama pada Ustazah Izzah hanya pada tudung, kenaifan, mengajar dan membaca al-Quran. Agama pada Pak Dollah dan isterinya pada songkok dan pergi haji. Sampai bila kita hendak menyaksikan watak Melayu pincang dan keliru? Bilakah kita boleh berbangga pada filem kita yang mengangkat keunggulan identiti dan nilai jatidiri kita?
Usah tertipu aspek teknikal filem seperti sinematografi, pencahayaan, pengarahan dan lakonan sahaja, namun falsafahnya hancur mengaibkan orang Melayu dan Islam.

credit to: koleksicerita.com

No comments: